Friday, June 24, 2011

Menangislah wahai mata.

Menangislah wahai mata,
Petanda kau hanyalah hamba,
Menangislah wahai mata,
Rintihan hanya buat Yang Maha Esa,
Menangislah,
Dalam suram cahaya malam,
Di sunyi sepi yang murni,
Dalam asyikan aluan wahyu Tuhan,
Dalam indah kalimah hikmah,
Dalam sebak mengenang dosa,
Dalam syahdu merindui pahala,
Maka.. Memangislah wahai mata,
Biar setiap ketika, biar setiap masa,
Jika tidak membasahi pipi,
Biar tetap membasahi nurani.

Menangislah wahai mata,
Mutiara meriwayatkan cinta,
Antara hamba dan Tuhannya,
Sedumu meriwayat duka,
Jiwa hamba memanggil Pencipta.

Menangislah dengan penuh kepiluan,
Agar kau tenggelam dalam lautan tiada tepian,
Menangislah dengan sepenuh jiwa,
Agar kau rasa kurnia yang tiada terduga,
Menangislah, supaya kau tahu ada bezanya,
Antara air mata meratapi dunia,
Dan tangisan memanggil Yang Esa.

Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Madinah, 190311

No comments: